Wednesday, February 9, 2011

38 : Keratan akbar 28 : Mangsa Banjir Salahkan Projek PLBE.


Utusan Online : Mangsa dakwa projek PLBE sebabkan banjir

TAMPIN 2 Feb. - Mangsa banjir di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan, Gemencheh dekat sini mendakwa kawasan kediaman mereka dinaiki air disebabkan oleh pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Seremban-Gemas.

Ketua Kampung, Mohd. Dom Md. Amin, 52, mendakwa apabila projek itu dijalankan sejak dua tahun lalu, kawasan berkenaan termasuklah di Taman Semarak 2, dekat sini, mula dinaiki air berikutan tanah dari projek berkenaan melimpah ke dalam sungai berdekatan.

"Keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sejak kawasan ini dibuka 60 tahun lalu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Air Kuning Selatan, Gemencheh, dekat sini, semalam.

Katanya, masalah lebih rumit apabila jalan di Felda Bukit Jalor dekat sini ditambak kerana pembinaan jalan yang turut mengundang berlakunya banjir.

"Sebelum ini apabila berlaku hujan, air akan mengalir masuk ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan tetapi sejak pembinaan itu, air terus mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan air melimpah ke kawasan rendah," katanya.

Sementara itu, Mansor Md. Tahir, 49, berkata, keadaan sungai yang cetek menyebabkan kejadian banjir amat buruk berlaku di sini.

"Sebelum ini, sungai masih dalam, tetapi selepas pembinaan tanah dan lumpur masuk ke dalam sungai menyebabkan ia semakin cetek dan airnya melimpah apabila hujan lebat," tegasnya.

Katanya, ini merupakan kejadian terburuk dan rumahnya hampir ditenggelami air, serta barangan sekolah, perabot dan elektrik semuanya rosak.

Seorang lagi penduduk, Raja Hashim Raja Sindut, 74, berkata, rumahnya dinaiki air hampir dua meter menyebabkan banyak barangan rosak.

"Air naik mendadak dalam masa tidak sampai 20 minit. Rumah saya hampir tenggelam," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, ramai penduduk telah pun dibenarkan pulang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah masing-masing.

Antaranya, ada yang mencuci lantai, tikar, membersihkan pinggan mangkuk, menjemur tilam dan pakaian yang dapat diselamatkan.